Tuesday, July 8, 2008

BERCERITA TENTANG TUDUNG MASA KINI

TUDUNG MASA KINI… TREND, FESYEN ATAU SYARIAT?

Bercerita tentang tudung masa kini, terdapat pelbagai jenis, warna, dan bentuk tudung yang ada di pasaran. Begitu senang dan mudah didapati. Ada tudung bawal, tudung labuh, tudung tiga segi, tudung bunga ros, dan macam-macam lagi. Sampaikan tudung bernama Siti Nurhaliza pun ada. Tak ketinggalan Mawi dan Datuk K pun ada tudungnya juga! Boleh dikatakan setiap lapis golongan wanita mampu memilikinya kerana ia didatangkan dengan semurah-murah harga hingga semahal-mahal harga.

Kesedaran wanita Muslim untuk memakai tudung kini membawa suasana yang positif kepada pengamalan nilai-nilai Islam, menunjukkan bahawa mereka menginsafi bahawa menutup aurat itu adalah suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan. Telah ramai yang mula mengenakan tudung di kepala mereka, termasuklah golongan ternama, artis, selebriti, dan personaliti tanah air. Tidak hairan jika terpapar di dada akhbar tentang golongan ini yang telah berhijrah untuk memakai tudung. Ini merupakan satu suasana yang positif yang berlaku di kalangan artis. Lazimnya mereka yang melakukan perubahan ini ialah mereka yang baru pulang dari menunaikan haji atau umrah di Tanah Suci.

PENILAIAN SEMULA

Namun begitu, jika dinilai semula, masih ada lagi yang tak kena dengan tudung yang dikenakan itu. Entah di mana silapnya, tudung yang dipakai masih lagi belum boleh dianggap menutup aurat sepenuhnya. Pakai tudung, tetapi masih nampak tengkuk dan leher berbalam-balam di bawah sinaran cahaya. Itu bermakna tudung itu jarang. dan nipis. Pakai tudung, tapi leher masih tidak ditutup. Itu bermakna tudung itu hanya menudung kepala sahaja. Pakai tudung, tapi jambul depan dan leher nampak juga. Itu bermakna, dia bukan pakai tudung, tapi pakai selendang! Pakai tudung, tapi tidak menutup bahagian dada. itu bermakna, ada yang tidak sempurna pada tudung itu.

“ Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman: hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kehormatan dan janganlah mereka menampakkan perhiasan kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasan kecuali kepada suami mereka.” – Surah an-Nur:31

Jadi, persoalannya, adakah tudung itu dipakai sekadar mengikut trend, fesyen terkini, atau syariat?

DILEMA DAN FENOMENA TUDUNG WANITA BERAGAMA

Seringkali terdengar keluhan dari sahabat-sahabat muslimat yang berlatarbelakangkan pendidikan agama, “Susahnya nak cari tudung yang betul-betul menepati syariat sekarang ni… Tudung-tudung sekarang ni kainnya nipis dan jarang-jarang, tapi cantik. Makin nipis, makin mahal pula harganya.”
Sudahnya, disebabkan tiada pilihan, terpaksalah membelinya juga. Benar, hasil tinjauan di kedai-kedai, memang semua kain tudung yang dijual sangat nipis dan jarang. Tak padan dengan harga!

Sahabat-sahabat yang jenis sangat mengambil berat tentang aurat mungkin akan pakai tudung dua lapis (dah terpaksa, nak buat macam mana, nak juga ikut fesyen). Tapi yang jenis tak berapa kisah, main belasah aje… kerana sudah tiada pilihan! Kalau ada pilihan pun, dah tak ikut trend masa kini. Dah tak up-to-date orang kata. “ Alah, jarang sikit-sikit, tak nampak nya.”
Tapi, betul ke tak nampak? Cuba perhati betul-betul.

Sudahnya, mereka ini terjerat dengan suasana dan trend masa kini. Ghairah dengan fesyen tudung yang menarik naluri untuk mencuba. Daripada yang dahulunya elok bertudung labuh, sudah bertukar kepada tudung yang agak labuh juga, tetapi jarang dan tipis! Dan yang lebih sedih lagi, yang lebih berani lagi ada yang tidak menutupi paras dada, ataupun hanya cukup-cukup makan. Hakikatnya, inilah fenomena yang terjadi di kalangan yang berpengajian agama, daripada pelajar hinggalah kepada ustazah atau pensyarah.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dua golongan daripada ahli neraka yang aku tidak pernah melihatnya lagi, iaitu satu kaum yang mempunyai cemeti seperti ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang, dan satu golongan lagi ialah kaum wanita yang berpakaian tetapi telanjang yang menarik perhatian, kepalanya seperti bonggol unta. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mendapatkan baunya sekalipun, sedangkan bau syurga itu boleh didapati daripada perjalanan sekian-sekian.” – Riwayat Muslim

RACUN BERBISA

Dalam situasi ini, para wanita Muslim umumnya, dan yang berpengetahuan agama khususnya, telah terkena racun, Diracun dengan begitu kejamnya oleh suasana dan trend masa kini. Mereka ini sebenarnya telah terdedah kepada bahaya fitnah. Fitnah yang mudah tersebar luas di kalangan masyarakat.

Bayangkan jika para wanita yang faham agama, mengaji, atau mengajar agama seperti para pelajar agama, ustazah, pengajian Islam, dan aktivis dakwah memakai tudung yang tidak menepati syariat seperti yang telah disebutkan tadi. Bayangkan jika mereka itu adalah ustazah atau pensyarah anda sendiri, adakah anda respect pada mereka? Patutkah mereka ini kita respect? Lebih bahaya lagi, mereka akan dijadikan ikutan oleh generasi yang mereka didik dan ajar sendiri, malah boleh jadi lebih teruk daripada mereka sendiri. Bak kata pepatah, Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari.

Jadi, berbalik kepada topik asal, adakah tudung sekarang ini trend, fesyen, atau syariat?


SMALL MATTER, MATTERS

Kasihan para Muslimah, daripada niat menutup aurat kononnya, bukan semakin mendapat pahala, malah mengundang dosa, dek kerana kejahilan atau mungkin sengaja buat-buat tidak tahu. Tetapi, hakikat yang perlu diketahui, small matter, matters. Benda kecil, jika diabaikan, akan terkumpul menjadi besar. Dosa kecil, jika dilakukan berulang kali, akan berubah menjadi dosa besar.

SUASANA MENGIKUT KITA

Biar suasana mengikut kita, bukan kita yang mengikut suasana. Kita harus menjadi proaktif. Dalam beberapa keadaan, mengikut suasana itu boleh, asal saja menepati syariat dan hukum Islam. Itu sahaja kuncinya.

PERBETULKAN PERSEPSI

Dalam soal tudung ini, kita perlu ubah persepsi PAKAI TUDUNG ITU TUTUP AURAT. Persepsi ini SALAH. Ini kerana ia menjadikan kita lebih fokus kepada perbuatan memakai tudung, bukan fokus menutup aurat. Ingat, tudung itu bukan syariat, tetapi menutup aurat itu yang menjadi syariat. Tudung ada bermacam-macam gaya dan jenis, tetapi bukan bermakna ia telah menepati syariat. Jadi, kita tidak boleh jamin bahawa dengan memakai tudung itu sudah menutup aurat. Maka, fokuslah kepada tuntutan yang utama, iaitu menutup aurat. Kepada para muslimah sekalian, fikir-fikirkanlah dan renung-renungkan..

Tulisan ini bukanlah ditujukan semata-mata kepada wanita Muslim yang beragama, tetapi juga untuk semua wanita Muslim, tidak kiralah kepada yang bertudung atau tidak bertudung. Maaf jika tulisan ini dirasakan agak kasar, namun hanya cara ini sahaja yang mampu dilakukan utuk menyampaikan apa yang aku tahu dan apa yang aku sedar.

Wallahua’lam.