Friday, June 13, 2008

Fakta Tentang Kristal Azurite


AZURITE

Azurite mendapat nama dari perkataan arab "azure" yang bermaksud biru. Warna biru pada batu ini terhasil dari mineral kuprum (tembaga) dimana struktur kristal batu ini mempunyai tembaga yang bergabung secara kimia dengan kumpulan karbonat (CO3) dan hidroksil (OH). Pada zaman dahulu, azurite digunakan untuk mewarna lukisan pada kain fabrik mahupun dinding bangunan. Azurite sebenarnya mempunyai komposisi kimia dan berkongsi ciri-ciri yang sama dengan malachite. Jadi tidak hairanlah jika kedua-dua batu ini sering dijumpai bersama. Mempunyai kekerasan pada 4 hingga 5 pada skala Mohs, batu ini agak sensitif kepada asid dan hentakan. Struktur kimia azurite dan malachite adalah seperti berikut: Azurite: Cu3(CO3)2(OH)2 Malachite: Cu2(CO3)(OH)2 Azurite dibezakan dengan malachite dari segi warna. Apa yang membezakannya terkandung di dalam struktur kimia azurite yang mempunyai Cu(OH)2. Oleh kerana Cu(OH)2 lebih teroksida dari CuCO3, malachite didapati lebih teroksida dari azurite. Ini menunjukkan malachite merupakan hasil pengoksidaan dari azurite. Ini juga menerangkan mengapa warnanya berlainan. Jadi timbul persoalan bagaimana perubahan struktur kimia yang sedikit ini boleh mengubah warna batu azurite kepada malachite? Di dalam perubahan azurite kepada malachite, warna boleh berubah hasil daripada susunan kordinat kristal yang kompleks. Ion metal seperti ferum (besi) memainkan peranan sebagai kation yang mengelilingi molekul ion lain di dalam struktur kristal batu ini secara geometrikal yang dinamakan sebagai ligands. Ligands boleh mempunyai bentuk molekul berpolar seperti air atau karbonat yang mempunyai cas negatif. Azurite yang terhasil di dalam proses ini teroksida secara sangat perlahan. Beberapa kurun dahulu, azurite digunakan sebagai pewarna untuk mengecat warna biru langit untuk lukisan. Setelah beberapa kurun, warna biru tersebut berubah menjadi hijau. Keunikan warna pada lukisan ini menjadi satu mimpi ngeri bagi artis tetapi tidak bagi pakar mineralogi dan gemologi. Ini menunjukkan varieti mineral yang membentuk kepelbagaian kepada batu permata.

No comments: